Terkini1

Pemain Hoki Negara Kongsi Kisah Hilang 4 Batang Gigi Demi Negara !

   DHAKA ― Beginilah harga pengorbanan pemain tonggak utama pasukan hoki negara, Faizal Saari yang terpaksa menerima hakikat pahit apabila kehilangan empat batang gigi depannya.

   Demi perjuangan terhadap skuad Malaysian Tigers yang bergaya mengalahkan antara gergasi dunia, Pakistan 3-2 dalam saingan Super 4, Piala Asia 2017 semalam, beliau cedera akibat terkena hentakan siku pemain lawan.
   “Empat batang gone (hilang) sebab apa, sebab kami main bukan untuk duit… kenangan manis. Sedap juga makan (diterjah) siku,” tulis Faizal menerusi akaun Instagram miliknya yang dipetik oleh media tempatan hari ini.
   Posting terbaharu pemain berusia 26 tahun itu menerima sambutan luar dugaan netizen apabila mendapat lebih 7,000 tanda likes selain hampir 500 komen daripada peminatnya yang memberi kata-kata berbentuk perangsang.
   Pemain negara tersebut malah memuatkan gambarnya yang kelihatan gigi sudah rongak akibat disiku oleh pemain lawan di mulut hingga menyebabkan pendarahan itu menerusi laman media sosial itu malam tadi.
   Faizal kemudian terpaksa menerima rawat kecemasan di luar padang selama hampir 10 minit akibat mulut berdarah, sebelum kembali meneruskan baki aksi perlawanan dalam kejohanan berprestij tersebut.
   Pemain hoki profesional kelahiran Terengganu itu pernah menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor dan mula mewakili skuad negara sejak berusia 18 tahun lagi.
Malaysian Tigers yang berada di ranking ke-12 dunia, melakar kejayaan dalam pusingan saingan round robin berdepan India yang kini ranking keenam dunia, pada perlawanan berikut. Semoga kita mempunyai semangat patriotisme yang tinggi seperti beliau.

Sumber - MyNewsHub

Sekolah ‘Hotspot’ Bukan Bermakna Tiada Harapan

Sekolah ‘Hotspot’ Bukan Bermakna Tiada Harapan

   PETALING JAYA – Senarai sekolah ‘hotspot’ di seluruh negara yang bocor bukan bermakna ia tiada harapan untuk pulih, sebaliknya bagi memastikan perhatian khusus diberikan dalam pelaksanaan langkah proaktif untuk manfaat pelajar.

   Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, 402 sekolah dalam senarai itu berdepan risiko berkaitan disiplin dan masalah dadah.
   Sehubungan itu, katanya, kementeriannya dan polis memberi perhatian utama bagi melindungi pelajar dan memastikan mereka tidak terus terjebak dalam gejala negatif.
   “Maklumat itu diberikan kepada polis untuk mendapatkan bantuan pasukan keselamatan itu bagi menjalankan pemeriksaan termasuk masalah disiplin di sekolah terbabit.
   “Senarai itu bagi memastikan lebih banyak sumber, program dan perhatian diberikan kepada sekolah berkenaan.
   “Ia juga bermakna pihak kementerian memberi perhatian utama kepada sekolah terlibat untuk memastikan masalah yang dihadapi dapat ditangani.
   “Jadi jangan salah faham dan melabel sekolah terlibat sebagai tidak berguna atau tiada harapan untuk berubah. Ada sekolah yang tersenarai kerana ia terletak di lokasi yang terdedah dengan pelbagai kegiatan jenayah dan tentunya berisiko tinggi, oleh itu kita perlu kerjasama pihak polis untuk memastikan pelajar di situ tidak terpengaruh dan terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya.
   Difahamkan pihak kementerian telah mengemukakan senarai 402 sekolah hotspot di seluruh negara kepada polis untuk tindakan lanjut dan semua pegawai perhubungan sekolah diarahkan mengambil tindakan proaktif untuk menangani masalah itu.
   Sebelum itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk menangani masalah di setiap sekolah ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
   Katanya, sebuah mesyuarat jawatankuasa induk yang akan bertindak khusus untuk menangani masalah-masalah salah laku di sekolah termasuk sekolah rendah dan menengah itu diwujudkan di peringkat kementerian.
   “Kementerian kemudiannya akan turunkan kuasa kepada pengarah-pengarah (pendidikan) untuk ambil tindakan lanjut dan wujudkan jawatankuasa khas seumpama ini di peringkat negeri pula.
   “Antara agensi-agensi yang terlibat melalui strategi NBOS ini adalah polis, persatuan ibu bapa dan guru, badan bukan kerajaan serta alumni setiap sekolah,” katanya. –mStar Online

Pendaratan penyu meningkat secara 100% di Terengganu.

   DUNGUN – Jabatan Perikanan Terengganu merekodkan 8,381 pendaratan penyu agar di empat lokasi di seluruh negeri sepanjang tahun lalu, iaitu jumlah pendaratan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

    Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Ismail Abu Hasan berkata jumlah itu meningkat lebih 100 peratus berbanding 4,156 pendaratan penyu itu di lokasi sama sepanjang 2015.
   “Peningkatan ini mencerminkan kejayaan program pemuliharaan dan pemeliharaan penyu yang kita semua lakukan selama ini.
   “Kami juga berbangga dan berterima kasih dengan penglibatan syarikat korporat dan swasta yang banyak berkolaborasi dalam program seumpama ini, malah mereka turut menyumbang hampir 50 peratus dalam setiap program yang dijalankan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama media di sini malam tadi.
   Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Zawawi Ali.
    Turut direkodkan ialah peningkatan telur penyu agar iaitu 803,104 biji sepanjang 2016 berbanding 420,589 biji pada 2015.
   Penetasan telur penyu karah juga mencatatkan peningkatan iaitu 2,528 biji pada 2016 berbanding 1,446 biji pada 2015.
   Ismail turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan pihak media dalam meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga khazanah alam itu agar tidak mengalami kepupusan.
   “Peningkatan jumlah pendaratan penyu dan penetasan telur penyu ini diharap melonjakkan lagi semangat dan motivasi semua pihak yang terlibat dalam program konservasi penyu selama ini, malah kita mahu lebih ramai terlibat pada masa akan datang.
   “Program dan hebahan penerangan mengenai penyu ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar ia terus menjadi keutamaan masyarakat terutama penduduk Terengganu kerana ia adalah ikon kebanggaan negeri ini yang perlu dipertahankan,” katanya. – Mynewshub.cc

Comments